panglima terbilang

Author: kehidupan mengejar masa /

Siapakah yang telah mengejut Eropah
dari tidur berbungkus mantel kegelapan ribuan tahun
dengan menghadiahi mereka mentari
tertatang dari titis empat telapak tangan dua lelaki mulia
air mani yang sama

Ini kota dikelilingi
air tenang biru; dan lubang kunci
sinaran cahaya bulan menerangi dunia
di kujur pintunya.

Siapa boleh memulangkan daku
semangat lima ratus enam puluh satu tahun lalu?
bukankah pena telah mencatat kemahsyuran
baginda Murad menanggalkan jubah tasaufnya
bertempur sebagai singa satria?
Bukankah kerana pedang yang ternama
dan kudanya yang perkasa
kita punyai saudara sejauh Belgrade di utara
dan kita miliki kota-kota indah di Bosnia
dan Hezergovina, Geneva dan Serbia
kita genggami Venesia dan gagah
di Florensia.

Debu-debu di kaki soldadu jihad ratusan tahun
terapung di medan Sophia Albania dan kita
ukir batu-batu putih di tepian jalanan
ke Balkan dengan gemercing dan percik api
mata panah panglima kita yang berani
kita saksikan kekalahan berkali-kali
Jean Hunyade di hujung hunus pedang Sultan Murad
dan kepala Ladeslase si pemungkir janji
tertancap pada tombak di medan Wane



Seru baginda:
“Hai segala kafir! Inilah kepala Rajamu!”
dan tentera bergema gigi dan lidah dengan takbir
sayap hijau kita kembangkan di ruang angkasa Crotia
barangkali jauh hingga ke Cologne atau Berlin

Usah terlupa pesan Nabi:
“Sebaik-baik Jeneral ialah Jeneral penakluk
Konstantinopel
Sebaik-baik tentera ialah tentera penakluk
Konstantinopel.”

Tembilang mulia baginda bercerita menghentak
dan membongkar batu Madinah
cetus api pertama istana putih Yamani
cetus api kedua takhta Kisra di tanah Parsi
cetus api ketiga mahligai Kaisar di Konstantinopel

Masakan kalian lupa pada sirah
sewaktu sahabat menggali parit dalam
di ambang hari-hari Khandak itu?

“Inilah janji kita!”
untuk membesar hingga ke Byzantium

Aku tiba-tiba berada di hujung Ogos
tahun seribu empat ratus lima puluh dua
masehi itu, di sini
Muhammad al Fatih membina benteng
Rumli Hisar
sembilan musim berjalan dengan debar
dan selat Balphorous sempit dipagari
rantai-rantai besar
tahukah kalian 70 bahtera diusung
membeban bahu
upang-upang kayu ini jadi mata
dan Urban si pembuat meriam
memuntahkan peluru-peluru dahsyatnya


Hei,
dayus pengecut
aku mahu pemimpin sekarang
siapa ? Yang tersohor di utara dan selatan
mendakwa hamba Haramain
atau celupar mulutnya
ingin memuliakan darjat bangsa supaya
kembalikan padaku waktu Subuh
20 Jamadil Awal 857 Hijrah
tatkala jenazah Kaisar Byzantium bergelimpangan
dan al Fatih mengendarai kuda
Jambulatnya rendah diri menyirami kepala dengan bumi
dan bersolat Asar di Aya Sophia
sedang pendita Nasrani di hari
Santa Theodosie tidak diganasi
sejarah mana pernah melihat keluhuran
akhlak seorang Jeneral
hingga terlafaz dari bibir si Petrick Nasrani
“Kaisar-kaisar kami tidak memuliakan kami begini!”

Berterima kasihlah kepada baginda Murad Dua
dan anakandanya al Fatih penakluk mulia
kerana dengan mendakap kota idaman itu
cahaya mentari dapat bersinar di Athens
melebar hingga ke Kepulauan Crimea
dan bermahkota di hati warga Itali

Jangan lupa,
kitalah yang telah mengejut Eropah
dan memandikan mereka pagi-pagi dengan kebijaksanaan
yang ditimba dari danau al-Quran dan Sirah Nabawi
kitalah yang telah membangunkan
lelaki buta dan menyembuhkannya
dengan jari-jemari ini

Sekarang mengapa kita harus
tersungkur di kaki pesakit
sedang kita dulu penawarnya?

Tolong – pulangkan aku
al Fatih dan ayahandanya si Murad Dua
Tolong – datangkan kepadaku
semangat pembebasan Konstantinopel

Sakit apakah kita
begini parah
kita tahu apa ubatnya
tetapi lebih rela meminum racun celaka

Pulanglah semua
mari pulang dengan hati dan jiwa penuh
untuk gagah semula



ermmm..ketokohan sultan murad dua dan al fatih patut kita contohi......semoga semangat itu dapat kembali kepada umat islam...semangat yg semakin pudar dgn kelemahan umat islam yg tidak bersatu dan mementingkn keduniaan..fikir2 dan renungkn la dimana kedudukan islam dimata masyarakat dunia skang....ingt islam bkn disebarkn dgn mata pedang tp dengan kesucian dan kebenaran yg terdapat dalam islam dan kitab Al-quran..wallahualam

LAMA-KELAMAAN dia jadi bosan menulis cerpen, menulis novel, menulis puisi, menulis esei sastera, menulis drama pentas dan digelar sasterawan. Dia rasa hari demi hari setiap pagi bila dia mengoyakkan kalender, ada rimas kian memalu ulu hati sehingga resah dan marah. Berapa sangatlah yang diperolehi kalau menulis sastera tinggi? Sekarang dia rasa sesak dan tidak bernafas kerana kekurangan wang dan adakah sastera tinggi telah memenuh perut dan mengisi nafsu membeli dan memakai seperti orang lain. Berapa sangatlah yang diterimanya bila menulis sastera besar demi kemanusiaan dan kebenaran. Dia lihat pembaca yang membaca tidak sedikit pun tersedar akan hal kemanusiaan yang diperingatkan dan hal kebenaran yang diselitkan juga dipersetankan oleh pembaca. Itu pun sebenarnya kalau ada orang yang membaca karyanya. Manusia tidak pernah mahukan kemanusiaan, pembaca tidak mahukan kebenaran. Mereka sukakan kepalsuan, pembohongan, fantasi, impian murah dan hiburan. Yang penting hati berasa puas, kepala tidak bingung dan membaca karya pun lancar.

Jadi dia membuat keputusan untuk memampuskan kemanusiaan dan kebenaran. Dia memilih untuk menjadi penulis sastera popular, dia mahu tulis satu karya yang memang tidak memeningkan kepala, menghiburkan dan tidak perlu hal-hal kemanusiaan ini kerana manusia tidak peduli. Dia akan menggunakan bahasa slanga, bahasa pasar, pergi jahanam dengan keindahan kesusasteraan, pergikan ke neraka segala kesantunan lenggok ritma bahasa. Dia akan menggunakan bahasa budak jalanan, dia akan muatkan saja seboleh-bolehnya seberapa banyak bahasa Inggeris.
Buat permulaan orang akan mengatakan karyanya kini tidak ada lagi nilai peradaban, tidak ada unsur pendidikan, tidak bermoral, rendah mutu dan kelas kedua. Dia tidak akan hairan kalau ada yang nanti menamakan karyanya picisan. Dia mahu wang, dengan menjual karya atau fiksyen begitu, dia akan dapat wang segera. Dia mahu kaya, dan dia tidak tahu cara kaya lain selain dengan menulis kerana dia sedar bakatnya hanya di situ.
Dia memikirkan bentuk sastera pop yang ingin diterokainya, maka dia bulat hati untuk masukkan unsur lucah, unsur cinta murah, unsur seram dan unsur haprak. Dia akan ciptakan satu manusia, katakan namanya, Ariel Adi Silbermann usia 26 tahun dan suka mengenakan pakaian dan barangan berjenama:
Ariel Adi Silbermann menyarung kemeja cita berlengan panjang lilac dan seluar jerut putih kain cita nipis membangkitkan kekacakan. Sebagai pemuda kacuk Jerman, bermata coklat Ariel adalah impian setiap gadis. Mimpi mereka adalah untuk tidur dengannya dan malang, Ariel tidak mudah untuk horny dan berasa bernafsu berahi dengan mana-mana hot babe sekalipun. Ariel selesa tidak dihakis wangnya oleh betina gedik kotaraya metropolitan Kuala Lumpur. Dia sedang duduk meneguk kopi somali di laman luar San Francisco Coffee Mid Valley Mega Mall, bila seorang gadis mendatangi, memperkenalkan diri sebagai Lara Maya Karan.
Ariel menyeluruhi gadis cilik itu dan mendapatinya; begitu anggun, katakanlah seiras Angelina Jolie, bibir meminta-minta, dada membuak-buak senak, ketiak putih tidak berbulu, pinggul mantap tonggek dan aduh dia kenakan gaun seksi Wolfrod warna biru redup, dan kaki yang cantik sesuai digigit-gigit itu tersarungkan mules hitam.
Gadis itu kemudian duduk di hadapannya dan bertanyakan sesuatu yang diluar jangka, ‘Boleh you tolong bunuh I?’
2
Rumah C2-3 Kondominium Besta Villa bergema seketika dengan dering loceng. Ariel membuka pintu hadapan dan Lara masuk tanpa diundang. Ariel sedang melunjur kaki menonton ASTRO siaran RIA bila dikunjungi secara mendadak oleh Lara.
Lara berbaju biru langit, dengan jeans poket sisi berpotongan bell bottom jenama Chanel.
‘Jadi bila you nak bunuh I ni?’Ariel melongo melihat Lara. Kali ini Ariel sudah jatuh tumpas mengingini seorang gadis. Ariel kini sudah tidak dapat lagi menahan otot dari menjadi perkasa dan hormon lelakinya mengalir merembas ke sekujur tubuh. Mungkin Ariel sudah jatuh cinta tetapi dia tidak akan menyatakan secara terang-terangan dalam fiksyen itu.
‘Tidak sehingga aku dapatkan kau…’ balas Ariel masih melopong mulutnya memerhati dada Lara yang padat mampat.
‘Bukannya betul, I masukkan silikon.’ dakwa Lara jujur, Lara menanggalkan segera pakaian dan sudah berdiri telanjang di hadapan Ariel.
Memang cantik, putih melepak dan tiada cacat celanya. Dan punat dada itu, Ariel spontan teringatkan kurma hitam basah dari Iran yang lazat dan manis.
‘You sudahkan cepat, dan kemudian bunuh I.” ujar Lara menghampiri Ariel dan mendorong pemuda kacak berdarah kacuk itu menanggalkan pula pakaian. Ariel patuh, mencabut satu demi satu sehingga tidak berbenang.
Lara mengeluarkan pistol tempur jenis Grande Puissance. Ariel melihat pistol itu, panjangnya 200 mm dengan enam alur pusingan kanan ke kiri. Sekali pelurunya meledak, kederasan peluru adalah 350m/s dan ia akan meletup dalam dada (jika dada yang diacu) cantik itu. Mestikah Ariel memenuhi janji membunuh Lara yang gebu ini?
‘Mana katil? Atau di sini saja?’Kemudian Ariel menyarung semula seluar dalam Renomanya. Memasang semula jeans Levis dan menggeleng.
‘Tapi you telah berjanji untuk membunuh I! Cepatlah romen dan kemudian bunuh saja I.’ Lara separuh cemas dan khuatir jika janji dimungkiri.‘Aku tak boleh sentuh kau selagi kita tidak bernikah, kita kahwin dulu, aku sudahkan tanggungjawabku sebagai suami dan kemudian barulah aku tunaikan tugasku sebagai pembunuh itu.’
Lara bersetuju.Argh siapa kata menulis fiksyen begini tidak dapat menyelitkan moral?
3.
Ariel dan Lara bernikah petang itu di Masjid Saidina Ali. Mereka bergerak ke Genting Highland dan Ariel menempah sebuah kamar di Hotel Seri Malaysia.
Lara menanggalkan pakaian dan menggesa Ariel segera menyudahkan apa yang perlu disudahkan supaya janjinya untuk membunuh itu cepat terlaksana tanpa ada ganjalan lagi.
Ariel menyetubuhi Lara. Sekali, dua kali, tiga kali semuanya.Ia adalah pengalaman manis. Dia akan perincikan adengan itu, dia akan pastikan pembaca dapat merasakan keseronokan yang dirasai Ariel. Dia akan mengingatkan pembaca yang tidak sukakan kemanusiaan dan kebenaran itu akan lemak manisnya kurma basah dari Iran.Kemudian Lara menggesa Ariel membunuhnya.Bagaimana?
Kali ini Ariel sebagai suami, Lara sebagai isteri. Apakah wajar bagi seseorang suami setelah menjima’ isterinya kemudian mengeluarkan pistol betul (pistol besi) dan kemudian menembak isterinya sehingga mati. Apakah jenis undang-undang akan menyetujui? Rasanya tiada kelogikan jalan cerita begini.
Mampuskan dengan undang-undang, mampuskan dengan logika kerana pembaca tidak mahu membaca logik atau hukum karma, pembaca mahukan hiburan. Inilah sastera popular, dia harus jauhi segala unsur-unsur sastera bermutu itu.
Kemudian dia buntu, bagaimana akan disambungkan cerita haprak begini? Berhari-hari dia mengalami mental block. Dia mahukan cerita itu penuh fantasi, hiburan dan pembaca tidak akan mendapat mesej apa-apa dari fiksyen haprak, ia hanyalah kata-kata kosong. Kalimat-kalimat dalam fiksyen haprak adalah kalimat dongengan yang tidak berasas meskipun kadang-kala memiliki nilai yang menyebakkan dada.
Dia tidak dapat meneruskan apa-apa sehinggalah seorang rakan mencadangkan dia mencontohi gaya penulis sastera popular Amerika, Stephen King, masukkan unsur-unsur twillight zone dan orang akan lebih suka, bukankah pembaca kita juga sukakan cerita-cerita pelik dan bukan-bukan.
Dia mengambil keputusan untuk mendorong Lara membuka rahsia sebenarnya kepada Ariel:‘Ini adalah rahsia I yang paling besar.’ Lara terkedang di sisi Ariel.‘I sebenarnya adalah extraterrestrials from outer space, et atau makhluk asing dari angkasa lepas.’ Lara bersuara separuh sedih separuh pilu mengingat segala-gala.
Ariel memangku kepala sendiri dan merenung isterinya.‘Piring terbang yang kami naiki telah terhempas di Varginha, Minas Gerais di Brazil. Ayah I yang cuba keluar dari pesawat itu telah ditembak oleh salah seorang petani yang datang menyiasat. Kami kemudian ditangkap oleh tentera Brazil dan dihantar ke Escola de Sargento das Armas sebelum diserahkan kepada kerajaan Amerika Syarikat, kami ditempatkan di sebuah makmal rahsia Pentagon.’ Lara memeluk Ariel, mencium hidungnya dan membiarkan tangan Ariel berjalan di atas dadanya, ulang-alik, pergi balik, maju undur dan sesekali mengganasinya.
‘Bagaimana kau boleh melarikan diri dari kawalan ketat kerajaan Amerika, dari FBI, dari CIA, dari Phoenix?’ Benak Ariel bekerja dan bertanya, Ariel tahu ini akan tiba kepada pewajaran mengapa Lara mahu dirinya dibunuh.
‘You kenal Mulder dan Scully?’‘Siri televisyen X-Files?’ tanya Ariel mahukan kepastian.‘Yup, mereka yang tolongkan I keluar dari kawalan itu, I kemudian masuk ke dalam tubuh seorang model dan inilah tubuh I sekarang ini.’ Lara bangun, menarik selimut separuh menutup dadanya, merenung ke arah jendela. Suara dari alat penghawa dingin kedengaran bising sekejap dan terdiam lama.
Lara menangis dan dalam keadaan pilu serta sebak membacakan sebuah sajak.Ariel terpinga-pinga seketika sebelum memaut Lara dari belakang. Memang Ariel tidak faham tetapi dia bersedia untuk cuba mengikuti apakah takdir Lara seterusnya.‘I orang Melayu Ariel. Di planet Uranus…’“Kau datang dari Uranus? Aku ingatkan alien datang dari Marikh?’
‘Tidak, kami dari Uranus, di Uranus ada Melayu, ada Cina, ada India, ada Benggali, ada Serani, ada Iban, ada Kadazan dan ada Dayak juga. Kalau Melayu, kami akan memanggilnya Malay Uranus atau kalau Tionghua, Chinese Uranus…’
Dia kemudian terus merapu-rapu dalam fiksyen hapraknya. Ia dipanjang-panjangkan dijela-jelakan dan siri pertama fiksyen itu dinamakan ‘Lara, Budak Uranus’. Siri sulung itu diterbitkan oleh Tanjung Rapat Publisher dan mencapai jualan yang memberangsangkan. Edisi pertama saja 50 ribu naskah dijual, dia kemudian menyetujui edisi kedua dicetak dan ia mencapai angka sehingga 200 ribu naskah. Sekelip mata dia menjadi fenomena di kalangan pembaca remaja.
Ruangan sastera kemudian heboh membicarakan mengenainya. Faisal Tehrani, telah mengecamnya sebagai tidak berprinsip dan pelacur bahasa di dalam ruangan Sastera Budaya Berita Harian, seorang Profesor dari USM telah menyifatkan fiksyennya sebagai ‘merosakkan’ dan ‘bukanlah karya Islam.’ Editor Dewan Sastera, Rozninah Abdul Azib telah menginterbiu tentang keperibadian kepengarangannya yang sudah tidak berprinsip itu. Dia hanya menjawab, ‘Yang penting orang baca karya saya dan orang faham. Saya ada ratus ribu pembaca. Peminat saya yang berdaftar saja ada 500 ribu orang. Dewan Sastera berapa ramai yang baca? Karya Faisal Tehrani, Perempuan Politikus Melayu siapa yang baca, bandingkan dengan siri Budak Uranus saya!’
Siri kedua fiksyen haprak itu mendapat sambutan yang lebih gila. Siri itu dinamakan pula ‘Yo, Lara Budak Uranus 2’ dan seterusnya ada lain-lain siri seperti ‘Yo, Lara Si Seksi dari Uranus’ atau ‘Lara, Melayu Uranus Terakhir’ juga ‘Ariel, Balak Lara Yang Cun’ dan kesemua siri itu kemudian dikompilasikan menjadi Lagenda Melayu Uranus’.
Remaja menyukai karya-karya haprak ini dan sekelip mata dia menjadi kaya, dia berhati-hati supaya tidak ada pencetak dan penerbit mengambil kesempatan ‘mencetak rompak’ karyanya dan lebih hangat apabila seorang pengarah filem yang gemarkan cerita-cerita cinta pop membeli hak cipta novel-novel tersebut untuk diadaptasi ke layar perak dengan dibintangi oleh pelakon-pelakon handalan seperti Erra Fazira, AC Mizal, Abby Abadi, Awie, Ella, Lan Pet Pet, Nasha Aziz dan Norman Hakim.
Filem itu telah menjadi box-office dan berduyun-duyun orang pergi menontonnnya dan ikut menangis pada adengan Lara membaca sajak di tubir katil di sisi Ariel.
4
Setelah 20 siri itu diterbitkan, lama kelamaan dia jadi bosan menulis siri Uranus yang tidak berfaedah dan digelar pula sasterawan pop. Dia rasa hari demi hari setiap pagi bila dia mengoyakkan kalender, ada satu tuntutan naluriah kian memalu ulu hati sehingga resah dan marah. Apalah gunanya wang yang banyak, kemasyhuran seketika dan pujaan dari remaja-remaja ‘bangang’ yang suka berangan berkhayal itu? Dia jadi sedar menulis sastera besar demi kemanusiaan dan kebenaran ada nikmat yang lain. Meski pembaca yang membaca tidak sedikit pun tersedar akan hal kemanusiaan yang diperingatkan dan hal kebenaran yang diselitkan, tetapi pesona begitu akan kekal zaman berzaman dan menjadi dokumentasi. Dia mengingatkan karya-karyanya ketika menulis dalam sastera serius dahulu, sering dirujuk orang dan dikaji. Tidak semua pembaca tidak mahukan kemanusiaan, tidak semua pembaca tidak mahukan kebenaran. Tidak semua sukakan kepalsuan, pembohongan, fantasi, impian murah dan hiburan. Jumlah mereka tidak ramai, tetapi kuantiti tidak penting kerana ia angin lalu, dan dia sedar kualiti yang penting. Siri Lara barangkali memenuhkan perutnya tetapi tidak mengenyangkan jiwa, siri Lara telah menganggunkan penampilannya kerana dia jadi kaya tetapi menghodohkan naluri batininya kerana dia jadi miskin.
Apalah yang manusia dapat dan dirinya sendiri dapat dari kisah Lara yang lara dan merapu haprak itu?Apakah bentuk intelektual yang telah disumbangkan?Maka dia mengambil keputusan drastik menutup siri ‘Lara, Budak Uranus’ dengan memberi pengakhiran yang mengejutkan dan ‘penuh manusiawi’, sebagai satu simbol kepada dirinya yang mahu berpatah kembali.
Lara telah ditangkap oleh Interpol dan dihantar semula ke Pentagon dan Ariel telah didakwa di Mahkamah Tinggi kerana perbuatan hapraknya yang bersetubuh, berkahwin dan bersekongkol dengan makhluk asing. Meskipun Ariel berulangkali melaung di hadapan hakim yang Lara adalah berbangsa Melayu dan dirinya bukannya pengkhianat tetapi teriak-teriak seumpama itu hanyalah sia-sia dan tidak diambil perhatian sekalipun.
Dia kemudian bermula dari sifar untuk membina semula keyakinan pengkritik sastera bahawa dia sudah ‘bertaubat’ dan menulis semula untuk kemanusiaan dan kebenaran.